Thursday, December 2, 2010

LEBAH OH LEBAH

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Lebah adalah merupakan salah satu serangga yang ditakuti oleh ramai orang. Kebanyakan orang akan cuba mengelak daripada menjumpai lebah. Tapi pernah diri kita ini terdetik untuk belajar sesuatu daripada serangga ini. Mari sama-sama kita kaji kelebihan dan manfaat yang kita dapat peroleh daripada serangga ini. Dalam ajaran  Rasulullah sendiri menasihatkan agar selalu mencontohi resmi lebah.

Rasulullah saw. bersabda, “Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merusak atau mematahkan (yang dihinggapinya).” (Ahmad, Al-Hakim, dan Al-Bazzar)




Tidak merosakkan tempat yang dihinggapi


Serangga ini sering kali dilihat berterbangan terutamanya berhampiran bunga. Walaupun dimana sahaja badan kecil serangga ini hinggap, ia tidak akan merosakkan tempat tersebut. Madu yang diambil daripada bunga merupakan antara pekerjaan serangga kecil ini. Meskipun demikian, bunga atau dahan tidak pula rosak.

Sikap ini kita perlulah contohi. Walaupun kemana sahaja kita pergi janganlah kita merosakkan tempat tersebut. Sama ada merosakkan tempat itu secara fizikal mahupun dengan akhlak kita yang buruk. Kita juga seharusnya bijak menyesuaikan diri kita dengan tempat yang kita pergi. Sebaik-baiknya kita malah memberikan kebaikan pada tempat tersebut.

Keluar dan Ambil yang baik sahaja

Satu lagi sikap serangga kecil ini, ia hanya akan mengambil dan mengeluarkan yang baik sahaja iaitu madu. Seperti yang semua orang ketahui bahawa madu memberi banyak kelebihan kepada kita. Inputnya baik, outputnya juga baik. Kerana kelebihannya mengeluarkan madu ini, Allah sebutkan dalam ayatnya yang suci. Lebah tidak pernah keliru dalam mengeluarkan madu. Ia hanya mengeluarkan madu sahaja daripada tubuhnya bagi kegunaan kita.

Begitulah juga yang seharusnya kita cuba terapkan dalam diri kita. Kita hanya mengambil sesuatu yang baik dan juga memberikan yang terbaik kepada orang lain. Oleh itu, insya Allah kita akan menjadi hamba Ilahi yang bermanfaat pada dirinya dan orang lain.


Tidak menganggu 

Lebah tidak akan menganggu binatang atau makhluk lain. Hanya apabila diganggu sahaja lebah ini akan menuntut bela. Tidak peliklah apabila sering kita dengar orang kena sengat lebah kerana dia menganggu sarang lebah ini. Walaupun makluk yang menganggunya terjun ke dalam air, ia akan tetap tunggu di atas bagi menuntut maruahnya yang telah diganggu.

Apabila kita bergaul dengan masyarakat sekeliling janganlah kita menjadi orang yang menganggu orang lain. Namun demikian, apabila orang menganggu kita seperti menyebarkan fitnah kita perlulah berani untuk berhadapan dan mempertahankan diri kita kembali. Sikap musuh tidak dicari tetapi apabila berhadapan janganlah gentar perlulah dicontohi.

Hidup berjamaah

Lebah akan hidup secara beramai-ramai dan diketuai oleh seorang pemimpin. Apabila menghadapi bahaya lebah akan mengeluarkan sejenis bahan kimia bagi memberitahu keadaan bahaya tersebut agar sahabat-sahabatnya berjaga-jaga dengan bahaya tersebut ataupun bagi memberitahu ia dalam bahaya. Apabila mendapati suatu tempat itu mempunyai madu, ia akan memberitahu pada yang lain. Betapa kuatnya hubungan serangga kecil ini.

Dalam kehidupan seharian kita, kita amat memerlukan orang lain untuk sama-sama memakmurkan bumi Allah ini. Itulah pentingnya untuk kita hidup dalam bermasyarakat. Janganlah kita menjadi seorang yang individualistik yang hanya memikirkan kepentingan kita.

Kesimpulan

Ambillah pengajaran yang Allah berikan dalam setiap ciptaanNYA. Banyak lagi binatang yang boleh kita ambil untuk dicontohi sikapnya atau tabiatnya. Seperti yang kita ketahui bahawa dunia ini hanya senda gurau dan permainan ( Al-Hadid ayat 20) namun seandainya kita manfaatkan kehidupan dunia ini untuk mencari hikmah pasti ia berguna.


 




Mari sama-sama kita contohi resmi lebah ini.