Sunday, October 24, 2010

APLIKASI SENI DALAM PENGAJARAN



Kamus dewan mentafsirkan ‘ajar’ sebagai petunjuk supaya diketahui sebagai bimbingan atau panduan untuk melakukan sesuatu. Perkataan mengajar pula didefinisikan sebagai menyampaikan ilmu pengetahuan (kemahiran dan sebagainya) kepada orang lain; mendidik atau melatih. Berdasarkan kedua-dua perkataan inilah maka terbitnya perkataan ‘pengajaran’ sebagai perihal mengajar atau segala sesuatu yang berkaitan dengan mengajar. Dalam kata lain, pengajaran membawa erti satu proses kegiatan membimbing dan mengarah proses pengajaran bagi membolehkan pelajar memperoleh pengetahuan, kemahiran dan sikap baru.
Seni pula merangkumi semua aktiviti dan hasil karya manusia yang indah dan berseni (kreatif) bagi semua kaum dan bangsa di dunia. Pada masa kini, seni merupakan luahan kreativiti manusia yang paling dikenali dan dianggap sebagai keunggulan daya cipta manusia. Terdapat pelbagai jenis seni yang diperkenalkan pada hari ini. Antaranya adalah seni teater, seni lukis, seni visual, seni muzik, seni ukiran, seni tarian dan lain-lain. Pelbagai jenis seni boleh diaplikasikan dalam suatu proses pengajaran bagi menghasilkan pembelajaran dan pengajaran yang berkesan.
Seni dalam pengajaran memberi peluang kepada kanak-kanak dan remaja untuk meneroka pelbagai sudut yang mereka lihat, dengar, sentuh, bergerak dan berfikir dengan setiap aktiviti pembelajaran. Hal ini dapat menarik minat mereka untuk melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang mengembirakan. Dalam mengaplikasikan seni dalam pengajaran bidang-bidang kurikulum yang lain mempunyai kebaikan dan kelebihan. Antaranya, pelajar berpeluang untuk menceburi aktiviti-aktiviti pembelajaran. Dengan ini tahap kebolehan mereka dalam menyelesaikan sesuatu masalah akan meningkat kerana mereka telah mempunyai kelebihan media yang boleh dijadikan sebagai alat bantu dalam menyelesaikan masalah secara langsung. Aktiviti seperti ini akan memperkayakan dan menambahkan lagi kefahaman pelajar terhadap pelajaran yang disampaikan. Selain itu, aplikasi seni dalam pengajaran ini dapat menampung kepelbagaian aktiviti seni dalam pendidikan. Apabila setiap aspek kurikulum dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk tujuan meleraikan proses penyelesaian masalah secara tidak langsung akan mewujudkan peluang yang baik bagi menerap dan melaksanakan aktiviti seni visual, muzik dan pergerakan.
Dalam proses mengaplikasikan seni dalam pengajaran kebiasaannya menggunakan pendekatan pengajaran berpusatkan guru dan pelajar. Professor Dr. Mel Silberman dari Temple University pernah berkata, “Hanya pembelajaran yang bersifat aktif sahaja yang akan menghasilkan pengalaman pembelajaran yang berkesan”. Pendekatan ini melibatkan komunikasi dua hala. Antara aktiviti seni yang melibatkan pendekatan ini seperti lakonan dan nyanyian. Pelajar akan diminta untuk melakonkan beberapa watak dalam sesuatu lakonan. Manakala nyanyian pula kebiasaannya akan dimulakan oleh guru dan diikuti oleh pelajar dalam menyampaikan sesuatu lagu itu. Hal ini bukan sahaja dapat menarik minat pelajar malah akan menghasilkan proses pembelajaran yang mengembirakan.
Pelbagai teknik yang digunakan oleh seorang guru dalam member kefahaman kepada pelajarnya. Teknik main peranan amat berkait rapat dengan seni iaitu seni lakonan. Teknik ini merupakan lakonan yang sengaja diadakan bertujuan untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan. Kebiasaannya teknik ini melibatkan beberapa orang pelajar bagi melakonkan watak tertentu tanpa menggunakan skrip yang dirancang. Apabila pelajar dilibatkan dalam aktiviti pengajaran, ia akan meninggalkan kesan pengalaman pembelajaran yang cukup bermakna. Setelah berakhirnya lakonan, guru perlu membincangkan persembahan yang telah pelajar-pelajar lakukan dan perkaitannya dengan isi pengajaran.
Proses pengajaran dan pembelajaran perlu menggunakan media pengajaran yang bersesuaian dengan isi pembelajaran dan teknik mengajar yang diguna pakai. Media pengajaran boleh dibahagikan kepada dua iaitu media bukan cetak dan media cetak. Antara media pengajaran yang digunakan dalam mengaplikasikan seni ialah filem, video, cakera video interaktif, lukisan, carta, kartun, poster, graf, model, boneka, alat paparan,pita audio dan lain-lain. Media pengajaran amat membantu guru dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Seni dalam pengajaran dapat memberikan keseronokan kepada pelajar. Hal ini kerana pelajar digalakkan untuk meneroka dengan membuat ekperimen, menyelidik dan mencipta menggunakan pelbagai idea dan bahan. Tujuannya adalah untuk menjadikan pelajar menjadi seorang yang benar-benar lebih berimaginatif. Pengalaman yang diperolehi boleh melibatkan kesedaran kinestetik yang mendalam, kepintaran mengunakan tubuh badan dan pengalaman ini akan memberi peluang kepada kanak-kanak dan remaja untuk menyelesaikan masalah, membuat eksperimentasi, meneroka, mengambil risiko, mencipta secara kreatif, membuat penilaian dan bijak membuat pilihan.
Seni dalam pengajaran menyediakan matlamat yang menarik dengan memberi peluang kepada pelajar untuk menemui potensi ekspresif diri melalui pekataan, bunyi, pergerakan dan visual mereka. Bahasa-bahasa simbol yang digunakan untuk membuat ekspresi dalam aktiviti-aktiviti seni. Ini akan membantu para pelajar untuk merasa, menyentuh, mendengar dan melihat secara langsung dunia mereka dengan cara tersendiri. Pelajar akan meluahkan pandangan mereka dengan cara yang seakan-akan sama dengan apa yang dialami dan difahami oleh orang lain.
Penerokaan, memperolehi pengalaman dan luahan ekspresi merupakan satu aktiviti yang penting pada seni dalam pengajaran. Ini adalah disebabkan pada topik ini pelajar diberi peluang pendedahan mengenai cara-cara untuk penerokaan dan cara-cara untuk pengolahan dan memanipulasi sesuatu aktiviti. Disamping itu juga pelajar telah diberi pendedahan mengenai dengan unsur-unsur perasaan dan emosi pelajar dan tahu bagaimana untuk menguruskan emosi supaya boleh meluahkan perasaan terhadap ekspresi diri.
Kesimpulannya, aplikasi seni dalam pendidikan amat membantu pelajar bagi menghasilkan pembelajaran yang kreatif, inovatif, menyeronokkan dan difahami oleh pelajar. Selain itu ia turut membantu guru dalam proses memberi kefahaman kepada pelajar kerana dengan mengaplikasikan seni dalam pengajaran ia bukan sahaja menghasilkan pembelajaran yang menggembirakan kepada pelajar malah memberi pengalaman yang bererti kepada pelajar.

RUJUKAN
Mohd Razali Kamarudin (2010). Mudahnya untuk Mengajar. Shah Alam: Alaf 21 Sdn. Bhd.
Lakonan (2010). Diperoleh pada Oktober 22, 2010 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Lakonan.
Muzik  (2010). Diperoleh pada Oktober 22, 2010 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Muzik.
Seni dalam Pendidikan (2009). Diperoleh pada Oktober 22, 2010 daripada
http://ghirlygz.blogspot.com/2009/08/koleksi-assignment
                                                         

No comments:

Post a Comment