Tuesday, October 5, 2010

Seni Kolaj

 Aktiviti kolaj amat sesuai untuk semua golongan tak kira kanak-kanak, remaja mahupun dewasa. Bagi kanak-kanak, aktiviti ini dapat memperkembangkan motor halus mereka. Aktiviti ini juga dapat digunakan dalam pengajaran sebagai alat bantu mengajar kepada kanak-kanak terutama dalam memperkenalkan sesuatu. Aktiviti kolaj juga dapat dikembangkan dari tahap yang rendah ke tahap yang tinggi. Pada tahap awal kanak-kanak boleh menggunakan kertas sahaja. Pada tahap seterusnya, kanak-kanak boleh menjalankan aktiviti kolaj ini dengan menggunakan bahan-bahan semulajadi seperti pasir, kayu, daun dan lain-lain. Mereka turut boleh menggunakan manik, butang, plastik dan pelbagai bahan lain. Aktiviti kolaj ini dapat merangsang otak agar melakukan suatu yang kreatif.


    
   Aktiviti kanak-kanak Pintas ketika lawatan pelajar UPSI. Kami melakukan aktiviti kolaj dan selepas aktiviti ini dilaksanakan pelajar-pelajar diharap dapat mengenal makanan yang baik untuk kesihatan mereka. Gambar ini menunjukkan kanak-kanak mengoyak kertas menjadi cebisan kecil sebelum menampalnya. 














   Inilah hasil kolaj kami. Gambar yang kami buat adalah gambar buah oren. Terima Kasih adik-adik bagi kerjasama yang baik dalam lawatan kami. Cantik adik buat. Mari kita lanjutkan pembacaan kita mengenai kolaj yang sedang diperhebatkan dalam arena seni hari ini. Artikel diambil dari www.bernama.com.my.


Meniti Seni Kolaj


Oleh Ummi Nadiah Rosli

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Seni kolaj, yang menawarkan alam permainan maya oleh pelukis, dengan kerja menampal pelbagai elemen seperti keratan akhbar, gambarfoto, kayu, fabrik dan material bukan seni di atas kanvas, kini muncul sebagai bentuk seni yang dinamik dan dramatik.

Dan kehebatan seni kolaj ini terserlah pada satu pameran baru-baru ini apabila 11 pelukis tempatan kontemporari mempamerkan nukilan masing-masing di RA Fine Arts Gallery di Kuala Lumpur.

Kolaj-kolaj dalam pameran seni ini yang disertai oleh Elias Yamani Ismail, Fadly Sabran, Wening Cheah, Haslin Ismail, Hushinaidi Abdul Hamid, Izmir Omar, Khairul Azmir Shoib, Tan Hui Koon, Marfizal Azuan Marsuki, Muhd Syafiq Fawwaz dan Rini Fauzan Mohamed Zuhairi menampilkan pelbagai gaya dan elemen gubahan.

Bersama tajuk yang kena pada tempatnya, "Apakah Yang Menjadikan Seni Hari ini Begitu Berlainan, Begitu Menarik?", daripada lukisan kolaj hinggalah gabungan seni digital, artis-artis muda cuba sedaya yang boleh dalam mengatasi batasan teknik seni yang baru ini.

MENYATUKAN IMAGINASI DAN SENI

Seni kolaj (daripada bahasa Perancis, 'colle' atau diterjemahkan sebagai 'seni tampal') dianggap sebagai cara membuat seni baru daripada material sedia ada, membenarkan para pelukis untuk mewujudkan satu konteks baru, berciri peribadi bagi maklumat visual yang cirinya hanya boleh dilihat dalam satu cara sahaja.

Seterusnya seni kolaj menghasilkan tekstur serta komposisi berlainan yang bersempadan dengan realiti, fantasi dan alam nyata.

Nukilan Hushinaidi Abdul Hamid menyatukan dengan cekap ciri-ciri primitif dan kontemporari menerusi teknik yang menjadi identitinya, iaitu penggunaan pigmen semulajadi. Batu syal 'lateratic' yang digunakan dalam nukilan-nukilannya juga digunakan dalam lukisan purba di gua, dan kesannya ketara jika dilihat daripada nukilan-nukilannya seperti 'Awas!'.

"Pigmen semulajadi merupakan teknik bebas, tanpa arah spesifik dan semuanya secara kebetulan. Sebagai seorang artis saya tidak dapat meramal dan pra-anggap akan hasil yang saya mahukan. Menggunakan teknik ini, saya sendiri terkejut dengan hasilnya. Segala-galanya adalah untuk memastikan hasil nukilan adalah dinamik," katanya.

Elemen tidak dapat diduga inilah yang Hushinaidi berpendapat sebagai tarikan sebenar serta ciri unik pada seni kolaj.

"Kelebihan pendekatan ini ialah ia bukan sekadar 'jalan pintas' untuk menghasilkan seni. Ia melengkapkan teknik-teknik seni yang lain sementara memberikannya satu penampilan baru."

BUKAN SEKADAR SALIN DAN TAMPAL

Nukilan gabungan pelukis Elias Yamani Ismail bertajuk 'Anonymous' (tanpa nama)dengan segera menggamit perhatian.

Lima arca bertopeng tergantung di dinding dalam aturan dan warna berlainan, menunjukkan betapa mudah seseorang boleh mengambilalih identiti sesiapa sahaja. "Penyampaian dan format merupakan dalam bentuk unit asas, tetapi saya mahu orang ramai melihatnya sebagai sesuatu yang menyeluruh," jelas beliau.

"Masyarakat berselindung di sebalik topeng selari dengan bagaimana saya mencantumkan topeng-topeng ini dan menggubah bentuk menggunakan pelbagai material," katanya.

Menerusi nukilannya, beliau mahu audien menyelidik isu-isu penting berkaitan dengan kesan sampingan dan bahaya mengiklankan diri menerusi tapak-tapak jaringan dan budaya intai yang lumrah dalam masyarakat.

"Tugas saya sebagai pelukis ialah untuk menggunakan kolaj sebagai kaedah untuk memberikan ruang kepada audien untuk mentafsir fikiran mereka dengan memanipulasi bentuk tertentu dan objek."

MEDIA BARU YANG MENCABAR

Dalam nukilan-nukilan yang menyepadukan kolaj dengan media digital, Tan Hui Khoo menggunakan objek-objek kraftangan dan komputer untuk menggalakkan audien meneroka maksud yang terselindung di sebalik nukilan ini.

Kerja-kerja kolaj digital dan lakaran oleh wanita ini diperbuat menggunakan objek-objek hinggalah video dan montaj, yang disatukan untuk merakam detik-detik signifikan penyampaian itu.

"Saya mahu mencabar media baru. Kolaj yang menangani situasi-situasi pasca moden, konsumerisme dan kegilaan material. Ia membenarkan karyawan untuk menyampaikan kritikan politik dan sosial mereka."

"Setiap orang boleh menghargai dan membuat seni kolaj," katanya dan menambah kata seni ini kini berbilang disiplin, ia juga kini lebih berciri peribadi memandangkan pelukis-pelukis kolaj mengusahakan nukilan-nukilan lebih kecil dan menyampaikan maksud dengan lebih baik.

PERSPEKTIF CERGAS

Pengarah RA Fine Arts, Raja Ahmad Aminullah berkata pameran ini menampilkan nukilan-nukilan artis generasi baru menggunakan media baru, dan mengeksperimen dengan ciptaan 2D dan 3D.

"Kita memerlukan mereka (artis muda). Mereka mewakili satu perspekif yang baru, dan mereka memerlukan lebih banyak saluran bagi ekspresi artistik mereka," katanya.

Ditanya akan tema pameran yang membawa cetusan minda, Raja Ahmad berkata jawapan itu dapat dilihat daripada bilangan pengunjung ke pameran itu.

"Kita menerima golongan muda dengan sifat ingin tahu di pameran kolaj ini. Seni kolaj adalah menarik kerana ia mencetuskan imaginasi."

Semasa bilangan pengunjung ke galeri itu mula meningkat, ada yang dilihat menggodek-godek buku skrap dan penyampaian audio yang disediakan oleh Khairul Azmir Shoib. Gabungan nukilan media dan lukisan alam nyata beliau mencetuskan naratif ganjil.

Kerja-kerja seni yang lain bersama imej-imej bertindih dan dunia fantasia memikat pengarah filem terkemuka U-Wei Shaari yang turut hadir pada majlis pelancaran.

"Kerja-kerja seni ini mampu mengatasi batasan seni moden. Ia mengejutkan. Datang ke galeri ini bukan seperti datang ke pawagam. Anda belum lagi bersedia untuk melihatnya, dan anda tidak boleh menyembunyikan emosi anda. Tetapi berbalik kepada apa yang menjadikan seni begitu berbeza, begitu menarik, tidak kira ia seni pentas atau visual, bidang berlainan atau teknik, seni dijamin relevan sampai bila-bila masa."

-- BERNAMA


sumber :- http://www.bernama.com.my

No comments:

Post a Comment