Monday, May 21, 2012

anakku HIPERAKTIF


Assalamualaikum... 

Artikel ini merupakan artikel ke- 5 bagi reflective writting saya..

Kanak-kanak HIPERAKTIF.. acap kali kita dengar keluhan orang dewasa.. ish budak ni hiperaktif betul.. apa sebenarnya yang dikatakan dengan HIPERAKTIF ni.. mari saya berkongsi hasil bacaan saya bersama teman-teman..








HIPERAKTIF ialah satu pola tingkah laku pada seseorang yang menunjukkan sikap tidak mahu diam, tidak terkendali, tidak menaruh perhatian dan impulsif (bertindak sekehendak hatinya). Kebanyakan kanak-kanak hiperaktif ini ialah ketika umur mereka tiga tahun dan pada umur 8 tahun tingkah laku ini semakin berkurang. Kanak-kanak yang hiperaktif ini sukar untuk duduk diam, kurang daya tumpuan kepada sesuatu perkara yang mana ia akan menjejaskan ingatan jangka masa panjang, cepat bosan, bertindak spontan mengikut kehendak hatinya dan akan sentiasa mencari-cari perkara yang menarik untuk dimainkan. Kanak-kanak hiperaktif ini akan sentiasa bergerak ke sana dan ke mari bagi meneroka persekitaran mereka. Yang sering menjadi kebimbangan ibu bapa ialah anak yang hiperaktif jarang mempertimbangkan akibat daripada tindakan yang dilakukan sama ada merbahayakan dirinya atau orang lain.

 Pada situasi ini orang di sekeliling perlu memastikan keselamatan kanak-kanak ini. Ingin saya kongsi sedikit pengalaman saya berjumpa dengan seorang adik ketika sama-sama pergi umrah dengan keluarganya. Adik ini sentiasa berlari-lari sepanjang proses kami untuk menaiki kapal terbang sehinggakan ayahnya terpaksa mendukungnya menggunakan ‘baby carrier bag’. Namun demikian dia akan terus berusaha untuk keluar dari tempat tersebut. Dan dia akan memukul ibu dan ayahnya. Ada satu situasi di mana ketika pulang dia telah memanjat ke atas mesin mengeluarkan barang-barang dari kapal terbang. Ketika itu sangat tegang kerana keadaan yang amat berbahaya jika adik tersebut dibiarkan. Adik ni hanya akan duduk diam ketika tidur dan sekiranya dia mendapat alat permainan baru. Dari pemerhatian saya, ibu dan ayahnya sangat memerlukan tenaga untuk berlari mendapatkan dia. Namun mengikut ibunya, adik ini hiperaktif yang tidak terlalu teruk dan masih boleh dikawal.

                                                 Baby carrier bag

Kanak-kanak hiperaktif ini tetap mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Kebanyakan kanak-kanak hiperaktif ini lebih pintar dan lebih kreatif berbanding rakan-rakan yang lain. Mereka juga mempunyai sikap berani. Mereka juga suka berkawan hal ini kerana mereka cepat bosan sekiranya tiada kawan untuk berkomunikasi dan bermain.

Oleh yang demikian, ibu bapa dan orang di sekelilingnya perlu kreatif merancang pelbagai aktiviti menarik dan selamat untuk mereka. Terdapat beberapa tips yang ingin saya kongsi :

1.       Peraturan – buatlah peraturan dan had batasan yang jelas di rumah. Jika perlu tampal dan tuliskan peraturan-peraturan tersebut di bahagian ruangan rumah. Hal ini adalah bagi memastikan semua anggota keluarga akan dapat melihat dan mematuhinya. Peraturan ini perlulah dilakukan secara rutin.

2.       Waktu lapang bersama – ibu bapa perlu mengisi masa lapang bersama-sama anak melakukan aktiviti seperti berjalan di taman, membaca buku cerita bersama-sama, bermain bersama dan sebagainya. Lakukan aktiviti bersama anak-anak anda. Terdapat beberapa kanak-kanak menunjukkan sikap ini kerana inginkan tumpuan dan kasih sayang ibu bapa.


3.       Aktiviti fizikal – kanak-kanak hiperaktif sangat dipengaruhi oleh tenaga yang berlebihan di dalam tubuh mereka. Oleh itu, kita perlu menyalurkan tenaganya pada tempat yang sesuai. Lakukan aktiviti fizikal bersama mereka seperti olahraga, bermain di taman permainan, bermain bola dan berlari. Aktiviti seperti ini juga dapat mengelola emosinya. Ibu bapa perlu kurang memberi makanan yang manis bagi mengelakkan dia mendapat tenaga yang lebih.

4.       Ingin perhatian – ibu bapa perlu memberikan perhatian kepada anak dengan cara yang positif.  Kanak-kanak hiperaktif sering mendapat perhatian dari aktiviti negatifnya. Jadi kita perlu mengubah aktivitinya kepada yang positif.


5.       Teguran – tingkah laku kanak-kanak ini sukar diramal. Kadang kala sikap mereka sukar dikawal dan boleh membahayakan. Jadi orang di sekelilingnya terutama ibu bapanya perlu menegur dan menasihati kanak-kanak tersebut dan menerangkan kesalahan mereka tersebut.

6.       Bersabar – sikap kanak-kanak ini kadang-kadang menyebabkan ibu bapa hilang sabar sehingga boleh menyebabkan kita panas baran. Elakkan daripada bertindak melulu, memukul dan memalukan mereka. Tegurlah mereka dengan ayat yang mudah.

7.       Ayat arahan – sering menjerit dan memarahi kanak-kanak dengan menggunakan perkataan ‘jangan’ adalah merupakan ayat yang biasa digunakan. Ayat ini kurang digalakkan untuk digunakan, gunalah ayat yang berbentuk arahan. Jangan berputus asa menegur kanak-kanak. Teruslah berpesan sehingga mereka mengubah tingkah laku mereka.


8.       Elakkan perkataan negatif – ungkapan seperti bodoh, malas dan sebagainya merupakan satu doa kepada kanak-kanak. Sekiranya ingin mereka bersikap baik kita juga perlulah mendidik dengan cara yang baik.

9.       Nasihat pakar – sekiranya masih tidak menunjukkan sebarang perubahan maka berjumpalah dengan pakar kanak-kanak. Dapatkan rawatan dan nasihat kepada orang yang sesuai.

Rujukan
Majalah PA MA Januari 2011

No comments:

Post a Comment